Kemahiran serta teknik bertanya di dalam kelas


Kemahiran bertanya merupakan salah satu dari perkara yang perlu dititikberatkan oleh guru-guru. Apabila seseorang guru bertanya, pelajar akan diuji mengenai pelajaran yang diajar disamping mampu memberikan analisis serta pendapat mereka sendiri. Malangnya, kebanyakan guru lebih kerap menggunakan soalan aras rendah “lower-order question” seperti menyemak sama ada pelajar mengingati fakta ataupun adakah pelajar telah membuat kerja rumah mereka.

Teknik bertanya yang baik di dalam kelas akan mampu meningkatkan motivasi dan menaikkan mutu pembelajaran pelajar. Sekiranya guru menggalakkan pelajar bertanya semasa P&P (Pengajaran dan pembelajaran), perkara ini akan mengelakkan dari kekerapan berlakunya P&P berpusatkan guru sahaja.


Pengenalan

Kebanyakan guru bertanyakan soalan bagi menyemak apa yang pelajar tahu serta ingin mengertahui sama ada mereka telah menghafal fakta. Sebaliknya, guru boleh menggunakan soalan-soalan untuk mengenalpasti kelompangan (learning gaps) dalam pembelajaran anak didik mereka.

Dalam sebuah buku iaitu “Those who can teach” karangan Kevin Ryan dan James M. Cooper mengemukakan bahawa kebanyakan soalan-soalan yang diajukan oleh guru tidak membawa pelajar untuk menganalisa maklumat. Malahan, soalan-soalan tersebut adalah semata-mata untuk menyemak hafalan terhadap fakta-fakta sahaja. Kedapatan juga ada guru yang bertanyakan sedikit sahaja soalan kepada kumpulan-kumpulan pelajar seperti pelajar yang lemah.


Teknik bertanya yang berkesan

Salah satu dari cara yang baik untuk bertanya adalah dengan mengemukakan soalan aras tinggi (higher-order question). Soalan aras tinggi ini memerlukan pelajar menjelaskan pandangan mereka dan mengemukakan hujah yang bersesuaian. Sebaik-sebaiknya, guru perlulah memberikan sedikit masa kepada pelajar bagi menjawab soalan aras tinggi ini.

Berikan markah kepada pelajar sekiranya mereka bertanyakan soalan yang bagus selain dari memberikan kredit kepada jawapan yang betul. Hal ini sesuai bagi guru-guru yang mengajar tingkatan menengah atas seperti tingkatan 4,5 dan 6.

Wujudkan satu kotak pertanyaan (Question box) di dalam kelas. Tidak dinafikan bahawa terdapat pelajar yang ingin bertanya, tetapi mempunyai perasaan malu. Sekiranya ini diwujudkan, maka tidak berlaku penafian terhadap mana-mana pelajar untuk bertanya. Malah, soalan tersebut boleh dijawab oleh pelajar lain.


Soalan yang harus dijauhi

Guru hendaklah mengelakkan dari bertanya soalan-soalan yang samar-samar. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Kurangkan soalan yang berbentuk memerlukan respon “Ya” atau “Tidak”, sebaliknya fokus kepada soalan terbuka (open question) yang mana pelajar diberikan masa serta jawapan yang munasabah.

Amalan yang baik

Guru mestilah bertanyakan soalan yang berkait dengan pelajaran yang diajar dan bukannya soalan yang jauh menyimpang dari tajuk utama pelajaran. Guru hendaklah mengemukakan soalan dengan jelas dan bukannya soalan yang kabur serta tidak jelas soalannya.


*Penulisan ini diambil dari idea Sally Nash dan diolah semula oleh penulis mengikut situasi pendidikan semasa di Malaysia. Sally Nash merupakan seorang penulis yang sangat berkaliber dan merupakan pemegang Master of Arts in creative writing dari Universiti Manchester Metropolitan.

Comments

Popular posts from this blog

Memberi kepercayaan kepada pelajar : Guru boleh bantu pelajar yakin pada diri

Nilai Cinta : Kupasan sebuah drama Melayu