Sejarah Pembinaan Masjid Bandar Sri Aman

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian, pada artikel kali ini saya akan berkongsi berkenaan dengan sejarah pembinaan Masjid Besar Sri Aman (nama barunya ialah Masjid Bandar Sri Aman). Artikel ini bolehlah dijadikan sebagai rujukan sampingan terutamanya kepada pengkaji dan adik-adik yang buat kerja kursus sekolah.

Kesemua kandungan artikel ini adalah diambil dari buku perasmian Masjid Bandar Sri Aman (Cetakan tahun 1981).  Buku perasmian ini sempat saya selamatkan daripada dimakan anai-anai yang menyerang hampir kesemua buku Allahyarham datuk yang tercinta iaitu Hj. Mohamad Hanis Bin Mahlie yang telah pergi menemui rabb pada tahun 2003. Al-Fatihah kita panjatkan semoga rohnya bersama kalangan orang-orang yang soleh dan bertakwa. Tidak lupa Al-Fatihah juga kepada penulis sejarah ringkas pembinaan Masjid Besar Sri Aman  ini iaitu Encik Chaiti Bolhassan dan Tn Hj Mohd Bujang.

Artikel ini akan memfokuskan kepada beberapa tajuk kecil supaya kita dapat mengambil beberapa pengajaran yang amat menarik dan boleh dijadikan sebagai ikutan oleh golongan muda khasnya. Antara tajuk kecil tersebut adalah:
  1. Kewujudan masyarakat Melayu di Sri Aman
  2. Bangunan masjid yang pertama di Sri Aman
  3. Usaha-usaha awal pembinaan Masjid Besar Sri Aman
  4. Perletakan batu asas
  5. Pembinaan Masjid besar Sri Aman dimulakan
  6. Lambang keagungan Islam
  7. Foto insan-insan yang terlibat
Kewujudan masyarakat Melayu di Sri Aman

Berdasarkan kepada sumber-sumber yang boleh dipercayai, asal-usul orang-orang melayu di Kampung Hulu dan Kampung Tengah (Sri Aman) berasal dari orang-orang Melayu yang mendiami perkampungan Nanga Skrang. Dalam era sebelum pemerintahan Rajah Brooke, Nanga Skrang berdiri kuat sebagai pusat pentadbiran. Orang-orang melayu yang bermastautin di kedua-dua kampung yang tersebut di atas juga hasil dari penghijrahan orang-orang Melayu dari perkampungan kecil Nanga Lemanak, iaitu sebuah tempat dekat Daerah Kecil Engkilili.

Pada masa ini, kepimpinan tradisional memainkan peranan yang amat penting khususnya dalam pengendalian haluan masyarakat. Faktor inilah yang mencirikan perubahan yang telah terjadi ke atas orang-orang Melayu di Nanga Skrang dan Nanga Lemanak. Ketua-ketua mereka yang dihormati lagi disegani , Abang Aing dan Panglima Taib, disebabkan alasan-alasan tertentu menganjurkan dan kemudiannya diterima oleh pengikut-pengikutnya untuk berhijrah ke bandar Sri Aman (sebelum bulan mei 1980 dikenali dengan nama Simanggang). Lantas bermulalah sejarah perkampungan orang-orang Melayu di bandar Sri Aman.

Hasil dari permuafakatan dan kesetiakawanan dikalangan dua orang pemimpin ini, maka pengikut-pengikut Abang Aing mendirikan perkampungan baru di Kampung Tengah manakala pengikut-pengikut Panglima Taib membuat perkampungan di Kampung Hulu yang juga dikenali sebagai Kampung Lemanak, Sri Aman.

akan bersambung...


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Memberi kepercayaan kepada pelajar : Guru boleh bantu pelajar yakin pada diri

Nilai Cinta : Kupasan sebuah drama Melayu